MARANG 25 Julai – Pas bersedia meneruskan muzakarah dengan UMNO jika pertemuan antara kedua-dua parti itu yang mewakili orang Melayu dan Islam di negara ini dapat memberi kebaikan kepada rakyat dan agama.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara yang boleh membawa kepada kebaikan dan persefahaman antara rakyat perlu diteruskan demi kebaikan bersama.
“Kita akan tengok dulu, yang baik kita ikut, yang baik insya-Allah kita teruskan,” katanya ketika ditemui di Masjid Rusila di sini hari ini.
Abdul Hadi diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu UMNO dan Pas meneruskan muzakarah kerana pertemuan antara para pemimpin kedua-dua parti itu sebelum ini menunjukkan perkembangan positif.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, Abdullah ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam menekankan bahawa muzakarah itu perlu diteruskan untuk kepentingan rakyat dan agama Islam.
Mesyuarat kepimpinan tertinggi Pas di Kota Bharu, Kelantan dua hari lalu turut bersetuju meneruskan muzakarah itu jika keadaan memerlukan demi menjaga kepentingan Islam dan perpaduan rakyat terutama di negeri-negeri yang diperintah oleh pakatan pembangkang.
Selain Abdul Hadi, mesyuarat di Kota Bharu itu turut dihadiri Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Dr. Haron Din serta Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.
Abdul Hadi menjelaskan, keputusan sama ada muzakarah antara UMNO dan Pas akan diteruskan bergantung kepada persetujuan mesyuarat Badan Perhubungan Pas Pusat yang akan diadakan tidak lama lagi.
Menurut Abdul Hadi, beliau akan mengumpul dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenai isu muzakarah.
“Insya-Allah saya akan baca, saya pun ada Internet... insya-Allah (perkembangannya) positif,” ujar beliau.
Sementara itu di KOTA BHARU, Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Pas tidak ada masalah untuk meneruskan perbincangan bersemuka atau muqabalah dengan UMNO bagi kepentingan rakyat dan agama Islam setelah tiada lagi kekeliruan yang berbangkit.
Katanya, Pas sedia meneruskannya selagi ia tidak berkaitan dengan sebarang usaha penggabungan antara kedua-dua parti berkenaan.
No comments:
Post a Comment